Panglima Saifuddin Qutuz






Kejatuhan Baghdad


Pada tahun 1258M, Baghdad, iaitu ibu kota Khilafah Abasiyyah jatuh ke tangan tentera Tartar. Setelah berjaya mengalahkan tentera- tentera Khilafah, tentera Monggol dengan biadapnya membunuh seramai 1.8 juta kaum muslimin yang berada di kota Baghdad. Juga tidak ketinggalan, Khalifah umat Islam turut dibunuh dengan kejam. Selama 3 tahun setengah, umat Islam hidup tanpa Khalifah. Ada ahli sejarah menukilkan bagaimana si Hulagu Khan ini melakukan pembunuhan terhadap khalifah dengan cara memasukkan khalifah di dalam gulungan permaidani dan memijak dengan kudanya. Tidak cukup dengan itu, tentera Tartar yang biadap ini memusnahkan banyak kitab- kitab karangan cendiakawan- cendiakawan di Baghdad dengan mencampakkannya ke dalam laut sehingga air laut bertukar kehitaman akibat banyaknya kitab- kitab tersebut. Ketika itu, seluruh kota Islam (Baghdad, Syria dan Asia Tengah) sudah ditakluki tentera Mongol. Hanya yang tinggal adalah 3 kota Islam iaitu Makkah, Madinah dan Mesir.

Tiga Langkah Awal
Qutuz mengambil tiga langkah awal sebelum melancarkan peperangan ke atas Monggol. Ketiga-tiga langkah ini dilihat amat berkesan dan menjadi sumber kekuatan kepada tentera Islam pada ketika itu.

Langkah pertama yang diambil oleh Qutuz adalah mengembalikan kestabilan keadaan dalaman Mesir. Beliau memanggil golongan istana, pembesar-pembesar, menterimenteri, ulama’-ulama’ dan golongan berpengaruh di dalam masyarakat. Beliau berkata kepada mereka: “Apa yang aku inginkan dari jawatan ini hanyalah agar kita bersatu untuk melawanTatar (Monggol). Urusan itu tidak mampu diselesaikan tanpa Raja. Apabila kita berjaya keluar dari masalah ini dan mengalahkan Monggol, urusan ini terletak di tangan kamu semua. Pilihlah sesiapa yang kamu kehendaki untuk menjadi pemerintah.”
Ucapan Qutuz tersebut telah meredakan ketamakan sebahagian dari pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangan Qutuz. Lihatlah betapa ikhlasnya Qutuz yang tidak mengharapkan sebarang balasan dunia dengan jawatannya sebagai seorang Sultan sekaligus menunjukkan bahawa beliau ini benar-benar merupakan seorang yang sanggup memikul tanggungjawab menyelamatkan umat tatkala tiada yang sanggup memikul beban tersebut.

Langkah kedua yang telah dilakukan oleh Qutuz adalah memberikan pengampunan kepada semua penyokong Mamalik Bahriah (penyokong kerajaan lama). Mamalik Bahriah mempunyai pengalaman yang luas di dalam medan peperangan. Di antara kehebatan yang pernah mereka tunjukkan adalah kemenangan mereka di dalam Perang Mansurah (salah satu siri perang Salib) pada tahun 648 H. Pengampunan itu telah berjaya memujuk mereka yang telah keluar meninggalkan Mesir untuk kembali ke Mesir. Rombongan penyokong Mamalik Bahriah kembali berduyun ke Mesir dari bumi Syam, Karak (di Jordan sekarang) dan bumi kerajaan Saljuk. Dengan itu Mesir berjaya mendapatkan kembali kekuatan tenteranya.

Langkah ketiga yang diambil oleh Qutuz adalah mengusahakan penyatuan semula antara Mesir dan Syam, dua wilayah Islam yang kuat.  Raja Nasir al-Ayubi (Raja Damsyik) telah melakukan perjanjian damai dengan Monggol. Perjanjian itu tidak berhenti setakat memohon perdamaian, bahkan Raja Nasir al-Ayubi pergi lebih jauh dari itu dengan meminta bantuan Monggol untuk menjatuhkan Mesir.
Qutuz menulis surat kepada Raja Nasir al-Ayubi memohon penyatuan Mesir dengan Syam. Bahkan beliau menyatakan kesanggupannya untuk duduk di bawah Raja Nasir al- Ayubi. Malangnya surat tersebut tidak dilayan. Tetapi apabila Damsyik dan Halab ditawan oleh Monggol dan selepas Raja Nasir al-Ayubi lari menyelamatkan diri ke Karak, tentera Syam telah bergerak menuju ke Mesir dan bergabung dengan tentera Mamalik. Kesatuan ini menambahkan lagi kekuatan Mesir dan memberikannya satu semangat yang cukup kuat untuk berhadapan dengan Monggol. Ketiga-tiga langkah ini telah memberikan Mesir satu kekuatan baru bagi umat Islam ketika itu.

Maranya Tentera- Tentera Allah


Ketika Mesir masih lagi di peringkat awal untuk mempersiapkan dirinya, empat orang wakil Hulagu telah datang memberikan surat perutusan dari beliau. Wakil tersebut datang beberapa hari selepas kejatuhan Halab (Safar 658 H), iaitu hanya tiga bulan selepas Surat tersebut telah memperlekehkan kekuatan tentera Islam dan memberikan kata dua kepada mereka; menyerah atau berperang. Sebahagian dari pembesar pada masa itu mula merasa takut dan ingin menarik diri kerana persiapan Mesir pada ketika masih lagi tidak seberapa jika dibandingkan dengan Monggol yang menguasai satu kawasan jajahan yang cukup luas (dari Korea ke Poland hari ini).
Namun sikap yang ditunjukkan oleh Qutuz amat membanggakan umat Islam pada ketika itu. Sikap itu terus menerus menjadi punca kepada kehebatannya pada pandangan mata umat sepanjang zaman. Qutuz mengambil keputusan untuk menghadapi Monggol dan tidak akan melarikan diri seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam. Dia juga mengambil sikap tidak akan menghulurkan perdamaian kepada Monggol sebagai mana yang menjadi pilihan sebahagian Raja-raja Islam pengecut ketika itu.

Qutuz mengumpulkan pembesar-pembesar dan panglima-panglima perangnya lalu berkata kepada mereka: “Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad.”

Kata-kata beliau telah menyentak dan menyedarkan kembali pembesar-pembesar Mesir ketika itu. Mereka bukan berhadapan dengan dua pilihan yang diberikan oleh Hulagu, tetapi mereka berhadapan dengan pilihan yang diberikan oleh Allah terhadap mereka. Jihad pada ketika itu adalah fardhu dan mereka tidak ada pilihan selain dari itu.

Masalah Belanjawan Perang dan Fatwa al-Izz bin Abdis Salam


Dalam keadaan Mesir yang dilanda dengan krisis politk dan ekonomi ketika itu, Qutuz tidak mempunyai masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah itu setelah surat ancaman Hulagu sampai kepadanya memberikan isyarat bahawa serangan Monggol akan datang pada bila-bila masa. Monggol sudah berada di sempadan Mesir. Ketika Qutuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Ulama’ Mufti Mesir, Izzuddin Abdis Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:

“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah sangat dilarang!”

Fatwa yang cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Qutuz. Beliau memerintahkan semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan; Mesir adalah negara yang kaya. Tetapi kekayaan tersebut telah disalahgunakan oleh sebahagian pimpinan pada masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin bin Abdis Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar yang segera.

Perjanjian Damai di Akka


Untuk sampai ke tempat yang sesuai dijadikan medan perang di Palestin, tentera Islam terpaksa melalui bandar Akka. Bandar Akka pada ketika itu masih lagi di bawah jajahan tentera Salib. Tentera Salib berada dalam keadaan yang cukup lemah di Akka. Kelemahan ini hasil dari keletihan peperangan yang mereka terpaksa hadapi dari tentera Salehudin Ayyubi sebelum ini. Pembebasan Quds berlaku pada tahun 643 H manakala Peperangan Mansurah berlaku pada tahun 648 H. Walaupun begitu, untuk membebaskan Akka dari tentera Salib tidaklah semudah yang disangkakan kerana benteng terkuat tentera Salib adalah di Akka.  Pada saat ini, kemungkinan berlakunya persepakatan di antara tentera Monggol dan tentera Salib yang akan menguatkan kembali Akka. Maka langkah yang diambil oleh Qutuz adalah melakukan perjanjian damai sementara dengan pemerintah Salib di Akka yang akan berakhir apabila peperangan menentang Monggol selesai.

Kegoncangan Saff Tentera Muslimin


Kini peperangan benar-benar berada di ambang mata. Ketakutan menyelubungi sebahagian tentera kerana Monggol adalah kekuatan gila yang tidak pernah dikalahkan. Bahkan pada zaman itu meniti dari mulut ke mulut satu mitos yang diterima oleh semua orang pada masa itu‘jika kamu mendengar Monggol dikalahkan, jangan percaya’.
Mereka lari meninggalkan tentera Islam. Sebahagiannya lari ke bumi Hijaz. Ada yang lari ke Yaman. Ada juga yang lari jauh sehingga ke Morocco. Hasil dari itu tentera Islam benar-benar bersih dari jiwa-jiwa yang kotor. Yang turut berperang adalah mereka yang benar-benar jelas matlamatnya, kuat dan berani menanggung segala risiko. Mereka bersedia untuk syahid di jalan Allah. Saff muslimin berada di kemuncak persiapan. Segala-galanya telah disiapkan oleh Qutuz, Pahlawan yang menyerahkan seluruh kehidupannya untuk agama Allah. Kini tentera Islam sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi Monggol.

Menuju Bumi Palestin Menumbangkan Monggol


Pergerakan tentera Islam bermula pada bulan Julai 1260 M. Bulan Julai adalah musim panas. Merentasi padang pasir di dalam musim panas bukanlah suatu yang mudah. Ditambah pula mereka akan menghampiri bulan Ramadhan. Tetapi Qutuz tidak menangguhkan langsung operasi tersebut.
Qutuz telah membagikan tenteranya kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama agak kecil jika dibandingkan dengan kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini diketuai oleh panglima Islam yang hebat, Ruknuddin Baibras. Kumpulan ini berjalan terpisah agak jauh dari kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini berjalan menzahirkan dirinya manakala kumpulan kedua berjalan dengan perlahan dan menyembunyikan diri. Ini adalah antara taktik perang yang dilakukan oleh Qutuz untuk mengelabui mata musuh agar musuh silap di dalam menghitung kekuatan tentera Islam.
Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras diletakkan di bahagian utara sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik pokok. Semua berada dalam keadaan bersedia menanti kedatangan Katabgha dan tentera Monggol.
Pada malamnya Qutuz dan tentera Islam melakukan tahajud dan memohon dari Allah kemenangan tentera Islam dalam pertempuran esok hari. Malam itu adalah malam 25 Ramadhan dan kemungkinan ia adalah malam Lailatul Qadar. Mereka menghabiskan malam mereka dengan tahajud dan doa serta menyerahkan diri kepada Allah. Moga-moga Allah menerima mereka sebagai hambaNya dan memberikan kemuliaan kemenangan atau syahid di medan pertempuran esok hari. Moga-moga esok adalah hari di mana mereka boleh menebus semula kematian jutaan umat Islam di tangan Monggol.

25 Ramadhan 658 H


Serangan Pertama: Bermula Peperangan


Bermulalah pertempuran. Katabgha yang menyangka bahawa pasukan Baibras yang kecil itu adalah keseluruhan tentera Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk masuk ke medan pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat. Baibras dan tenteranya berdiri tenang di tempat masing-masing menantikan kemaraan Tentera Monggol yang berjumlah berkali ganda dari bilangan pasukan mereka. Apabila tentera Monggol sudah hampir kepada mereka, Baibras memberikan isyarat kepada tenteranya untuk merempuh ke depan. Pedang bertemu pedang. Darah mula mengalir. Satu demi satu nyawa melayang. Walau pun begitu, Baibras dengan bilangan tentera yang sedikit masih mampu bertahan. Ketakutan mula meresap masuk ke dalam diri tentera Monggol. Belum pernah mereka menghadapi kekuatan sedemikian. Pemilihan Qutuz sememangnya tepat. Panglima-panglima perang yang dipilih untuk bertembung di peringkat awal dengan Monggol dan menghabiskan tenaga Monggol adalah panglima perang Mamalik terbaik. Mereka adalah panglima yang terlibat sekali di dalam mengukir kemenangan di dalam peperangan Mansurah menentang tentera Salib pimpinan Louis IX. Qutuz dan baki tentera masih lagi menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan peperangan tersebut dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.

Serangan Kedua: Mengepung Tentera Monggol


Masanya sudah tiba untuk Qutuz memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras dan tenteranya berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini adalah taktik yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand ketika tentera Islam di zaman Saidina Umar r.a. membuka Parsi. Taktik ini digunakan untuk menarik tentera Monggol yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah medan peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang kita ketahui medan Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya. Kepungan itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya menarik tentera Monggol ke tengah medan.
Katabgha tertipu. Dia mengarahkan seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang tanpa menyedari taktik tersebut. Ini adalah satu yang cukup pelik berlaku kepada beliau. Katabgha adalah panglima perang Monggol yang mahir. Menjadi panglima perang sejak zaman Genghis Khan. Ketika peperangan Ain Jalut, beliau berusia lebih 60 tahun atau mungkin lebih 70 tahun. Satu usia yang memberikan pengalaman yang tidak sedikit berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu. Tetapi Allah mengatur segala-galanya. Taktik ini berjaya. Tentera Monggol telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera Islam muncul, Katabgha menyedari kesilapannya. Mereka juga nampak kematian semakin menghampiri mereka.

Serangan Ketiga: Kekuatan Bahagian Kanan Monggol


Katabgha memberikan arahan agar semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka seolah-olah mengamuk dan mengasak tentera Islam menggunakan kekuatan bahagian kanan tentera Monggol. Bahagian kiri tentera Islam telah diasak dengan dahsyat oleh mereka. Gugur di kalangan tentera Islam seorang demi seorang sebagai syahid. Qutuz yang melihat dari atas bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam. Langkah yang diambil oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’ (Demi Islam-Nya!!!). Laungan ini diucapkan oleh beliau sambil beliau turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam.
Tentera Monggol terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya. Beberapa libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau. Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Monggol menyebabkan beliau terjatuh. Pun begitu beliau meneruskan jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau berjaya mendapatkan kuda bantuan.
Seorang pembesar istana menjerit dan mencelanya kerana lambat menaiki kuda. Beliau bimbangkan Qutuz terbunuh lalu dengan itu akan kalahlah tentera Islam. Tetapi Qutuz menjawab: “Ada pun diriku, sesungguhnya ia sedang menuju syurga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”  Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.

Kematian Katabgha


Dibunuh oleh Jamaludin Aqusy as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik. Pernah berada di bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya setelah melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al- Ayyubi. Beliau merempuh tentera Monggol sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera tersebut. Di situ beliau melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau mengumpulkan seluruh tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha. Kepala Katabgha berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di hadapan tentera Monggol. Ketakutan makin meningkat melihat kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Monggol mula melarikan diri melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar mereka.

Berakhirnya Kekuatan Monggol


Tentera Monggol berjaya memecahkan kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri dan berhenti di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka. Berlaku pertembungan yang lebih sengit. Kali ini tentera Monggol benar-benar menggila untuk memastikan mereka terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan peperangan memberikan semangat kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa Islaamah. Wa Islaamah. Wa Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Monggol!” Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
Medan peperangan kembali sunyi. Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan Monggol. Tidak ada lagi takbir para petani. Tidak ada lagi bunyi libasan pedang. Mayat-mayat tentera Monggol mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan. Qutuz berjalan di tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan selama sehari di bulan Ramadhan.

Kesudahan Yang Baik Buat Pemimpin Yang Hebat


Qutuz sujud ke bumi mensyukuri kemenangan tersebut. Beliau dan tenteranya berjaya membunuh kesemua tentera Monggol. Ya! Kesemuanya. Tidak ada seorang pun dari tentera Monggol yang berjaya melepaskan diri mereka hidup-hidup. Semuanya mati dibunuh oleh tentera Islam di dalam peperangan yang cukup hebat ini.
Maruah umat Islam berjaya dikembalikan. Kematian jutaan umat Islam berjaya dibalas oleh Qutuz. Sememangnya beliau seorang pemimpin hebat yang berjaya mencipta satu sejarah untuk dibanggakan oleh umat Islam sepanjang zaman. 10 bulan sudah cukup bagi Qutuz untuk menjatuhkan Monggol yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih 40 tahun. Semua itu berlaku pada 25 Ramadhan.
Alangkah terharunya kita membaca kisah keperkasaan Sultan Saifuddin Qutuz dan tentera-tenteranya. Namun, pada masa yang sama kita berasa marah bercampur sedih apabila begitu banyaknya melimpah darah-darah umat Islam yang ditumpahkan oleh kuffar Amerika dan Israel tanpa pembelaan daripada seorang pun pemimpin umat Islam. Yang ada hanyalah pengkhianatan dengan pertemuan-pertemuan mesra dan bersalam-salaman dengan pemimpin Amerika pembunuh nombor satu umat Islam! Moga pahlawan seperti Qutuz akan ada penggantinya, yakni ketika Khilafah memimpin dunia. Aamin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...